Wednesday, February 21, 2007

WaliyuLLAH & Keramatannya

Siapa itu WaliyuLLAH?

Secara ringkas, para WaliyuLLAH adalah hamba-hamba yang dicintai ALLAH, selain para Nabi dan Rasul. Mereka benar-benar ‘mansusia sejarah’ dan ‘manusia ajaib’ bukan ‘manusia dongengan’ sebagaimana yang dikatakan oleh sesetengah pihak orang yang tidak mempercayai adanya kekeramatan yang dilimpahkan oleh ALLAH s.w.t kepada para Auliya’uLLAH (wali-wali ALLAH). ALLAH s.w.t telah menjelaskan kepada kita tentang para Wali itu.[1]

ALLAH berfirman dalam Al-Quraan

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya paraWali ALLAH itu tidak khawatir terhadap mereka dan tidak pula mereka itu bersedih hati. Mereka itu adalah orang-orang yang beriman dan sentiasa bertaqwa.”
(Surah Yunus, Ayat 62-63)

Cinta dan mengagungkan WaliyuLLAH

Ada berberapa pihak yang menyifatkan kecintaan ‘mengagungkan’ pada WaliyuLLAH itu adalah sesat dan syirik.Menghukuman atau mensyirik dan menuduh orang Islam sesat sewenang-wenangnya, tampa bukti kukuh dan dalil yang betul adalah suatu perkara yang amat ‘serious’ dalam pandangan Islam. Para WaliyuLLAH adalah manusia yang soleh dan tinggi darjat taqwanya kepada ALLAH s.w.t dan sangat taqqarub (dekat) dengan ALLAH. Kalau perasaan cinta dan pengagungan secara jelas atas dorongan perasaan cinta, penghargaan dan penghormatan; maka alangkah peliknya kalau orang itu menuduh ia adalah perbuatan syirik.

Contohnya si Fulan sedang dilamun asmara cinta dengan pasangannya, pendek kata; makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah. Boleh kita hukum orang itu syirik? Kerana cintanya kepada pasangannya yang belum tentu tarafnya atau sedarjat dengan para WaliyuLLAH. Perbezaannya ialah, menyintai sesesuatu demi untuk memperolehi keredhaan ALLAH. Mengenai soal ini, Syeikhul-Islam Ibnu Taimiyah menegaskan:

“Terdapat perbezaan yang nyata antara cinta kepada ALLAH dan kecintaan kepada sesuatu selain ALLAH. Ahlul Tauhid dan orang-orang yang jujur kepada ALLAH mencintai sesuatu yang bukan ALLAH demi untuk memperolehi keredhaan ALLAH. Sedangkan orang-orang musyrik, mencintai sesuatu yang bukan ALLAH. Misalnya, kecintaan kaum musyrikin kepada tuhan-tuhan mereka, kecintaan kaum Nasrani kepada Isa Al-Masih dan kecintaan orang-orang yang mengikuti hawa nafsu kepada pemimpin mereka.”

Mu’jizat Nabi dan Karomah Para WaliyuLLAH

WaliyuLLAH adalah manusia yang teguh pada kebenaran ALLAH dan menjauhkan diri dari segala bentuk maksiat (kedurhakaan) dari yang sebesar-besarnya sehingga yang sekecil-kecilnya. Ulama’-ulama’ Salaf dan Khalaf dikalangan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah, sependapat bulat; bahawa apa-apa boleh terjadi kepada seorang Nabi yang dikurniakan mu’jizat. Para WaliyuLLAH dibekalkan dengan karomah atau dibahasa kita sebagai keramat.

Hakikat sebab terjadinya perkara-perkara yang ajaib berlaku pada Nabi, Rasul dan WaliyuLLAH adalah bersumber dari ALLAH Azza wajal. Itu semua sebagai bukti ke Nabi-an dan ke-Rasul-an untuk umat mereka. Jika ALLAH kehendak untuk memperlihatkan kepada seorang Wali sebagai tanda kekeramatan atau hikmah, itu pun tidak ada sesuatu yang dapat mencegah-Nya.

Tidak wajib mempercayai melebihi apa yang dijelas

Kaum Muslimin tidak diwajibkan oleh syara’ mempercayai adanya kekeramatan yang ada pada seorang WaliyuLLAH atau orang soleh, melebihi apa yang telah dijelaskan tadi. Cukuplah bagi kita percaya bahawa kekeramatan itu bersifat ja’iz (mungkin), tapi tidak mustahil (ia berlaku), baik dari sudut akal mahupun dari sudut syariat. Kalau ALLAH berkehendak pada sesuatu, tiada sesiapa pun dapat menghalang-Nya dan ia tidak menjadi masalah pada ALLAH- untuk membuat sesuatu yang menyalahi hukum kebiasaan. Kita perlu memberi penghormatan dan penghargaan yang selayak baginya (WaliyuLLAH).

Kalau kita lihat dikaca telivisen kita, pelbagai-bagai cerita kita boleh ‘terima’ yang menyalahi hukum akal kita, daripada manusia yang berseluar ketat, yang boleh terbang sehingga mereka yang boleh cakap dengan roh-roh yang dah meninggal untuk menyelesaikan masalah mereka. Mungkin kita pernah mengalami peristiwa ‘pelik bin ganjil bin ajaib’ dan pernah dengan menokok tambahkan cerita asal untuk dijadikan ‘special’ kepada pendengar.

Tapi cerita-cerita mengenai WaliyuLLAH, mudah sahaja kita tolak, walaupun belum sempat cerita itu habis. Kenapa? Mungkin ‘mindset’ kita telah dijajah oleh Hollywood and Bollywood. Sehingga apa yang sudah ada dalam sejarah Islam, mudah saja kita tolak. Kerana apa? Kerana tidak masuk akal, tampa kita pelajari atau mengkaji, sekurang-kurangnya tanya kepada mereka yang arif dalam bidang tersebut. Cepat hati dan lidah kita menyebut; “..la, sesat nie...”

Kesimpulan

Dari itu, hentikanlah prasangka buruk dan pertikaman lidah yang menikam orang-orang soleh atau para Auliya’uLLAH yang masih hidup mahupun yang telah meniggal. Mereka mengabdikan hidup matinya hanya kerana ALLAH dan cuba menghidupkan cara hidup berteraskan kehendak Tuhan. Syariat Islam telah meletakkan cara untuk mengukur and menilai mana yang benar dan mana salah, mana berita yang boleh dipercayai dan mana yang tidak.

Kalau kita betul-betul faham dengan jelas mengenai kedudukan dan martabat para WaliyuLLAH, dan kita yakin mereka memperolehi kekeramatan (karomah) atau bahasa pasarnya “power” dan hikmah, hakikatnya ia dari ALLAH, maka tidak ada salahnya kita mengharapkan keberkatan dari ALLAH s.w.t melalui curahan kasih-sayang dan kecintaan ALLAH kepada mereka.

[1] Al Bayan Asy-Syafi fi Mafahimil Khilafiyah. Oleh H.M.H Al Hamid Al Husaini