Wednesday, February 21, 2007

PENULISAN DALAM ISLAM

Sebuah perkara yang mesti ada dalam pertimbangan seorang yang bergelar ilmuan ialah penghasilan karya. Seorang ilmuan tidak akan menjadi berguna kepada masyarakat sekiranya ilmunya tidak dapat dimanfaatkan untuk tatapan umum. Tamadun manusia tidak akan bertambah maju dengan hanya tersimpannya ilmu dalam kotak pemikiran seseorang cendekiawan. Jika seorang guru sekadar mengharapkan kuliah kepada pelajarnya, penyebaran idenya tetap terbatas, dan mungkin berakhir setakat jawapan peperiksaan. Maka penulisan menjadi medium paling berkesan bagi seseorang ilmuan menyampaikan buah fikirannya untuk dibaca, dinilai, dibahas, dianalisa dan dibuahkan hasil sama ada dalam bentuk produk yang tangible (boleh dilihat dan disentuh seperti ciptaan teknologi) mahupun yang lebih abstrak yang mungkin lebih banyak kesannya dalam mengubah kehidupan manusia (contohnya pemikiran sains sosial yang akhirnya dijadikan dasar sesuatu keputusan negara).

Hasil karya umum yang baik, pada hemat saya, perlu memenuhi sebahagian besar daripada tujuan berkarya, yakni untuk menyampaikan maklumat atau ilmu, untuk mempengaruhi atau memujuk pembaca, untuk mendidik, dan untuk menghibur manusia. Maksud karya umum di sini ialah tulisan yang disasarkan kepada pembaca dari kalangan orang awam, seperti novel, cerpen, sajak, dan rencana akhbar. Karya khusus pula, seperti makalah akademik dan kertas kerja penyelidikan, perlu dimotivasikan oleh cita-cita yang membara untuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan ilmuan sebidang dengannya. Sesebuah penemuan atau ide baru pula hendak disebarkan kepada masyarakat untuk manfaat tamadun manusia keseluruhannya. Ini munasabah kerana medium penerbitan karya khusus, contohnya jurnal akademik, bersifat sejagat. Sekali imbas, jumlah pembacanya memanglah terhad kepada mereka yang arif dalam sesuatu bidang. Namun mereka ini kerap pula merupakan sebahagian tunggak atau orang penting dalam masyarakat, yang suaranya memberi kesan langsung dan besar kepada pembuatan dasar negara. Karya khusus tidak langsung atau lambat menjadikan seseorang popular, malah kerap pula seseorang ilmuan dikenali hanya selepas kematiannya, tetapi impaknya kepada tamadun manusia melangkaui karya popular yang kerap bersifat semasa. Apabila hasil karya khusus diterjemahkan untuk kegunaan awam, sama ada melalui pembacaan langsung atau kefahaman dan produk yang disampaikan kepada umum, berkembanglah tamadun manusia. Di belakang transformasi-transformasi sosial utama di dunia, sentiasa ada pemikiran seseorang ilmuan sebagai pengisi intelektualnya. Contohnya, revolusi Perancis 1789 dipengaruhi karya Rousseau, revolusi Amerika 1776-84 ditunjangi ide kontrak sosial Locke, revolusi Russia 1917 didasari falsafah Marx yang diterjemahkan oleh Lenin, malah revolusi Iran 1979 ditunjangi pemikiran Ali Shariati. Lima kertas kerja ilmiah oleh Einstein yang diterbitkan pada tahun 1905 telah secara drastik mengubah wajah dunia dalam masa 100 tahun. Di Malaysia, institusi yang berpengaruh seperti Lembaga Tabung Haji dan Institusi Integriti Malaysia umpamanya timbul dari kertas kerja penyelidikan.


Bagi para penulis Islam, berkarya ialah sebuah perjuangan. Mengenal, mempromosi dan mencintai Tuhan bertindak sebagai matlamat perjuangan ini. Memperjuangkan Tuhan sebegini bukan bererti kita memisahkannya daripada kehidupan manusia, malah kehidupan manusia yang dipaparkan dalam penulisan membawa manusia lebih menghayati rasa berTuhan dan rasa kehambaan. Manusia lebih faham akan tugasnya didatangkan ke dunia selaku hamba dan khalifah Tuhan untuk memakmurkan bumi. Dengan kata lain, berkarya perlu pemangkin. Pemangkin utama bagi penulis bercita-cita Islam ialah Tuhan. Kehebatan sesebuah tamadun itu terserlah melalui bentuk karya yang terhasil pada zamannya. Tidak sepatutnya wujud konsep berkarya dengan maksud semata-mata untuk berkarya, atau dalam ungkapan bahasa Inggeris, berbuat sesuatu for its own sake. Karya ialah senjata ampuh untuk membawa manusia kepada Tuhan, sama ada jalan ceritanya bersifat menceritakan masyarakat yang lepas (past), masyarakat kontemporari (present), masyarakat akan datang (future) ataupun masyarakat bayangan (fiction). Walau apapun bentuk atau zaman masyarakat yang dipilih oleh penulis sebagai situasi karyanya, contoh-contoh peribadi agung seperti berjiwa besar, sabar, berani, berdisiplin dan rajin perlu mendasari tema karyanya. Sifat-sifat sebeginilah yang hendak diterapkan kepada pembaca ke arah membentuk sebuah tamadun agung yang sepatutnya menjadi aspirasi masyarakat Malaysia.
Keutamaan ilmu yang disampaikan perlu menuruti hierarki kepentingannya, bermula dari ilmu-ilmu fardu ain hinggalah kepada ilmu-ilmu fardu kifayah. Kegagalan tamadun sains dan teknologi moden mengadunkan ilmu fardu ain dengan fardu kifayah telah menghasilkan masyarakat yang tampak maju materialnya, tetapi di sebalik kemajuan tersebut, manusia semakin kusut fikirannya dan gersang rohaniahnya. Lahirlah gejala sosial dan penyakit jiwa. Manusia hilang Tuhan kerana karya sezaman yang dihasilkan tidak mendorong manusia ke arah mengingati dan menghargai Tuhan. Sebuah tamadun benar-benar menjadi hadhari apabila karya dalam apa bidang sekalipun: perubatan, kajihayat, kimia, fizik, kejuruteraan, teknologi maklumat, komunikasi, sosiologi, politik, ekonomi, kesusasteraan, geografi, sejarah, bahasa, dan sebagainya, menjurus kepada manusia membesarkan Tuhan dan mendidik sesama manusia. Menjadi satu kesedihan melihat proses pengkaryaan sekarang dicemari motif selain ilmu, seperti untuk keuntungan peribadi (wang, pangkat, pujian, dan sebagainya). Apakah ilmuan sekarang akan berkarya jika imbuhan material tidak dikaitkan secara langsung dengan peningkatan karier akademiknya?


Sama ada karya umum mahupun khusus, perkara teknikal berhubung penulisan harus dijaga. Pembaca akan terpengaruh atau terdorong ke arah menerima buah pemikiran yang dipamerkan dengan gaya bahasa yang menarik, menimbulkan keakraban antara penulis dan pembaca, dan mudah difahami. Penulisan bukan untuk sengaja memaparkan eksklusifnya ilmu seseorang dengan penggunaan sewenang-wenangnya istilah dan kaedah yang mengelirukan. Dalam mendidik manusia, seseorang penulis boleh menggunakan enam kaedah yang elok diimbangi penggunaan mereka, iaitu, menjadi contoh teladan (role model) kepada masyarakat dalam kehidupannya, membawa khabar gembira (tabsyir) atau penemuan positif, membawa khabar menakutkan (tanzir) atau penemuan negatif, menceritakan perihal orang soleh dan natijah baik sebagai ikutan, menceritakan perihal orang jahat (toleh) dan natijah buruk sebagai pengajaran, dan berfikir tentang kebesaran Tuhan yang mencipta ilmu yang pelbagai. Manusia terhibur dengan memperoleh roh dan jiwa yang tenang dan akal yang mantap hasil pembacaannya. Ini amat berbeza sekali dengan tulisan yang sekadar merangsang fizikal dan nafsu, seperti novel lucah dan majalah hiburan yang memaparkan budaya hedonistik.